Assalamualaikum ,Pemuda Muadzam Shah bersama dalam menyampaikan info yang bermanafaat,,, terima kasih atas ziarah anda......

Rakyat didahulukan?

Beberapa hari yang lalu Ahli Parlimen Rompin , Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis telah merasmikan sebuah persidangan di Rompin melalui sidang video dari Amerika Syarikat. Sidang video yang di tonton oleh hampir 300 penduduk etnik orang Asli di Rompin ini hanya berlangsung selama 10 minit. Cukupkah untuk mengisi kekosongan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen di sini?

Siapakah yang akan memikul guni beras dan gula untuk di agihkan kepada golongan susah dan amat memerlukan perhatian daripada pemimpin mereka? Apatah lagi sekarang musim hujan dan angin monsun yang kuat. Para Nelayan tidak betah untuk turun ke laut kerana membayangkan risikonya. Begitu juga para penoreh getah yang selama ini mengharapkan hasil daripada jualan getah sekerap semata-mata. Dapatkah mereka menoreh getah dengan cuaca yang sebegini? Siapakah yang sepatutnya mengambil berat kepada kebajikan golongan ini jika tidak pemimpin yang telah mereka pilih dalam pilihanraya umum yang lalu. Pemimpin yang berelaun dan di bayar gaji untuk berkhidmat untuk rakyat!

Memang sudah kedengaran suara-suara yang akan membuat perubahan dalam pilihanraya umum nanti. Kebanyakan rakyat di sini sudah muak dengan janji dan sembang pemimpin yang hanya tahu menabur janji dan kemudiannya mendendangkan semula menjelang pilihanraya. Tapi jika pilihanraya akan datang diadakan pada tahun 2012 siapakah yang mampu menggalas kelemahan yang ditinggalkan pemimpin sekarang? Oleh itu tidak hairanlah jika saban hari pimpinan Pas di sini didatangi oleh masyarakat tempatan untuk mengadu hal dan memohon bantuan. Dengan kemampuan dan sumber yang terhad mahu tidak mahu setiap aduan masyarakat tetap ditangani sedaya mampu.

Kes permohonan tanah di sungai Peha , Muadzam contohnya telah berlarutan beberapa kali pilihanraya. Begitu juga dengan janji untuk membina Surau di Desa Cempaka Muadzam yang sehingga kini senyap entah ke mana. Itu belum lagi mengambil-kira kemudahan asas di perkampungan orang Asli yang amat daif. Di Kampung Dong dekat Meripoh contohnya mereka minum hanya menggunakan air perigi kecil untuk 10 buah keluarga dan mandi di ‘kolam’ yang berdekatan. Mereka juga telah dijanjikan untuk kemudahan elektrik , Surau , Balairaya , Jalan Tar , dan air bersih tapi hingga kini janji hanya tinggal janji. Pimpinan Pas baru-baru ini berkunjung ke sana dan menghantar sedikit sumbangan serta bergotong-royong membina perigi kerek untuk kemudahan penduduk tempatan. Di mana wakil rakyat mereka disaat mereka mengharapkan bantuan?

Dengan slogan lunak ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ adakah berbetulan dengan khidmat yang mereka berikan kepada rakyat? Rakyat dapat menilai ini dan mereka juga boleh membuat perubahan pimpinan pada masa yang akan datang.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP