Pakatan Rakyat makin digeruni
Demontrasi sekumpulan `orang’ yang mengaku sebagai ahli dan pengundi Pas di Selangor jelas menghantar mesej gembira kepada ahli gabungan Pakatan Rakyat. Ini bererti kehadiran gabungan alternatif ini membangkitkan kegerunan lawan politik akibat mendapat kepercayaan besar daripada rakyat kebelakangan ini. Persefahaman dan perpaduan yang makin dieratkan seakan dicemburui apatahlagi apabila membayangkan pimpinan Pas , DAP serta PKR boleh duduk semeja dan membincangkan strategi serta membulatkan tekad untuk menjadi kerajaan memerintah selepas pilihanraya umum yang ke 13 akan datang. Satu permuafatan yang satu masa dahulu mustahil sekarang boleh berlaku.
Manakan tidak di saat umno dan komponen BN yang lain bergolak hebat bagai retak menanti belah Pakatan Rakyat boleh mengenepikan perbezaan malah mencari titik persamaan dan berkongsi wadah seperti yang dimeteri dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu. Graf prestasi yang kian hari mencanak ternyata amat dicemburui oleh musuh politik yang akhirnya menerbitkan `drama hebat’ yang menjadi persendaan ramai itu. "Pakatan Rakyat mesti dipecahkan dan setiap ahlinya perlu diracuni dengan prejudis yang harapan akhirnya akan memecahkan kesatuan ini". Barangkali itulah sinopsis cerita yang diberikan oleh pengarah drama ini kepada para pelakonnya. Ternyata mereka terlewat sepuluh tahun untuk memplotkan sitron sebegini. Pakatan Rakyat sekarang bukan lagi anak-anak kecil yang boleh diumpan dengan sekupang gula-gula. Walaupun belum semantap zaman kegemilangan BN dahulu tapi tidaklah selemah BN sekarang.
Hari ini sebahagian besar landskap politik di Malaysia diwarnai oleh percaturan Pakatan Rakyat. Walaupun baru setahun jagung berkuasa di beberapa buah negeri tetapi perubahan yang besar dapat dirasakan rakyat. Suatu masa dahulu rakyat hanya mendengar dongeng dan gendangnya nya sahaja tetapi kini menjadi kenyataan apabila kerajaan baru mengambil-alih teraju di beberapa negeri. Pengamalan pemerintahan yang telus , hemah dalam berbelanja wang rakyat , sifar rasuah serta bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan mula membuka mata rakyat terbanyak. Jika sebelum ini siapa yang pandai mengampu dan membodek dialah yang kenyang sekarang tidak lagi. Sedikit demi sedikit perubahan dilakukan agar kehidupan rakyat lebih aman dan makmur kerana itulah yang sepatutnya mereka dapat sejak puluhan tahun yang lalu.
Keadaan ini barangkali amat ditakuti oleh mereka yang tidak amanah dengan mandat rakyat. Pangkat dan kuasa tidak boleh lagi menjadi tiket untuk terus mengaut kekayaan peribadi dan kaum keluarga . Gelaran `YB’ belum tentu lagi dipuja dan dihormati jika tidak bekerja sepenuh hati untuk agama , negara dan rakyat! Justeru itulah perancangan demi perancangan diplotkan untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat. Tidak hairanlah jika selepas ini ada lagi adegan-adegan sebegini yang direka-reka dengan tujuan cuba memberi gambaran buruk kepada pakatan baru ini agar tidak lagi menjadi pilihan rakyat terutamanya dalam pilihanraya yang akan datang.
0 comments:
:)) :)] ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} ~x( :-t b-( :-L x( =))
Post a Comment