Assalamualaikum ,Pemuda Muadzam Shah bersama dalam menyampaikan info yang bermanafaat,,, terima kasih atas ziarah anda......

DAP : Sila hormati siasatan Pas!

Kenyataan wakil rakyat Serdang Teo Nie Ching daripada DAP dilihat tidak bersesuaian dengan keadaan di mana Lembaga Disiplin Pas sedang membuat siasatan terperinci berkenaan beberapa insiden di Selangor.Teo meyatakan "Masalahnya dengan Dr Hassan sahaja. Dengan wakil rakyat yang lain tidak ada masalah. Macam wakil rakyat PAS Dr Shafie Abu Bakar di Bangi semua ini tidak masalah,"

Apakah kenyataan ini seolah berbau prejudis seolah Dato’ Dr Hassan Ali bersalah? Kami ahli Pas tidak memilih bulu apatah lagi berkompromi dengan mana-mana ahli atau pimpinan yang menyalahi disiplin parti. Kami juga ada banyak perkara yang boleh diperkatakan (jika ingin). Tapi menghormati siasatan parti lebih utama daripada menyalahkan mana-mana pihak selagi siasatan berjalan.

Begitu juga dalam beberapa insiden lompat parti yang barangkali sedikit-sebanyak akan memberi kesan kepada Pakatan dan rakan lain yang begitu setia menjunjung obor perjuangan suci ini. Tapi Pas tidak melatah apatah lagi menyalahkan sesiapa dalam Pakatan. Bukan tidak boleh bercakap tapi tidak mahu memperbesarkannya!

Kita juga berharap DAP atau PKR selaku ahli intim dalam Pakatan Rakyat menghormati apa yang sedang dilakukan oleh Pas dan tidak mengeruhkan keadaan. Kita fikir bukan sahaja Pas yang perlu memperkukuhkan Parti sekarang sebaliknya rakan-rakan lain juga perlu mengambil perhatian apatah lagi MP dan ADUN yang sering melompat akhir-akhir ini bukanlah daripada Pas!

Jangan campur tangan berlebihan dalam ‘mengambil berat’ rakan Pakatan. Barangkali niat kita baik tapi dikhuatiri hanya akan mengeruhkan keadaan. Akhbar dan pemberita memanglah akan bertanyakan macam-macam perkara kepada pimpinan kita tapi tidak semestinya pendapat peribadi kita dihebahkan kepada media tanpa mengambil-kira kesannya kepada rakan kita Pakatan Rakyat.

Semoga Pakatan Rakyat terus mantop!



Read more...

Siapa lagi mahu keluar?

Kita mempersilakan mana-mana Adun atau MP Pakatan Rakyat yang tidak yakin dengan perjuangan ini mengambil pendirian ‘bijak’ seperti beberapa orang sebelum ini. Kita tidak mahu Pakatan dibebani dengan mereka yang inginkan perkara lain selain perjuangan menegakkan kebenaran dan menguburkan kebatilan.

Kita barangkali langsung tidak terasa hati dengan langkah terbaru ADUN Pelabuhan Klang saudara Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan diri keluar daripada PKR dan menjadi Adun Bebas ( tapi menyokong BN?). Banyak pihak dalam PR terutamanya pimpinan dan penganalisis politik berpendapat hanya mereka yang tahan ujian dan teguh pendirian sahaja yang akan terus menerajui bahtera Pakatan Rakyat hingga ke puncak kejayaan.

Mungkin boleh di jadikan pengajaran kepada barisan pimpinan PR pada masa-masa yang akan datang agar setiap calon yang diketengahkan mestilah seorang yang benar-benar larut dengan perjuangan rakyat. Jangan kerana seseorang itu lepasan tinggi university dalam dan luar negara maka dia boleh memimpin. Silap!. Kepimpinan yang baik tidak boleh diukur dengan sijil akademik semata-mata. Latar-belakang keagamaan , berprinsip ,adil , bijak dan berkomitmen tinggi barangkali boleh dijadikan penanda aras utama dalam kriteria untuk menjadi calon pimpinan. Juga jangan pula dipilih mereka yang hanya pandai bercakap! Cakap berdegar-degar tapi gerakerja di Kawasan dan Cawangan hancur! Mereka hanya pandai mereka-reka alasan dalam banyak keadaan agar kelemahan mereka tidak kelihatan di mata ahli bawahan dan rakyat.

Bersyukur kepada Allah , Adun dan MP Pas masih diberi kekuatan untuk menempuhi ujian dan tekanan sebagai pimpinan terutamanya dalam demokrasi ala-Malayisa ini. Mungkin kekuatan ini lahir daripada proses tarbiyyah yang berpanjangan daripada pimpinan yang terdahulu serta kesedaran yang tinggi terhadap amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Jika mengharapkan kesenangan dan kemewahan dunia Pas dan Pakatan Rakyat bukanlah medan yang sesuai untuk mengadu nasib. Lebih baik menjadi seorang manusia yang bermaruah dengan tidak memperjudikan amanah yang diberi rakyat. Kita mengharapkan secara professional dan gentleman agar semua Adun dan MP Pakatan Rakyat yang tinggal menetapkan pendirian.

Lebih baik perjuangan ini didokong oleh sedikit yang istiqamah daripada ramai yang tidak berprinsip! Siapa lagi mahu keluar??? Silakan!

Read more...

Apa yang kita harapkan?

Apapun keputusan yang bakal terhasil daripada mesyuarat khas kita hari ini tentunya bakal membawa Pas terus menerajui persada politik tanah air. Sebagai parti yang menjadi perhatian seluruh dunia pimpinan Pas mengambil langkah yang pantas dan bijak serta matang bagi menyelesaikan sedikit kekeliruan ini di meja rundingan. Barangkali ini yang di cemburui oleh parti lawan. Mereka jika boleh biarlah Pas menjadi celaru dan berpecah-belah. Aneh kan? Mereka yang katanya menyeru perpaduan lebih suka melihat parti Islam berkecamuk seperti mereka?

Sebagai ahli apakah yang kita harapkan daripada pertemuan ini? Melihat Pas terus berdiri gagah? Atau mencari ruang untuk membuat pertikaian? Amat tidak patut sekiranya hikmah perbincangan ini dicemari oleh ahli atau pemimpin yang tidak wala’. Begitu kita mengharapkan pertemuan kali ini menyelesaikan apa jua bentuk permasalahan yang berlaku di kalangan kita. Janganlah kerana semata-mata ingin meredakan keadaan masalah sekadar diletakkan ke tepi menunggu bertambun untuk diselesaikan kelak!

Kita perlukan kesatupaduan suara dalam perjuangan Islam dan ahli (rakyat) tidak boleh lagi dikelirukan dengan segala tindak-tanduk yang tidak mereka fahami.

Alangkah baiknya jika ruang yang ada kita perahkan segala keringat untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat selagi kita menghormati tahaluf-siasinya? PR berada dalam keadaan yang paling baik untuk menunjukkan kemampuan untuk menjadi pengganti kepada umno BN. Di saat mereka berkecamuk menyusun barisan(?) kita sudah jauh di depan memenangi hati rakyat.

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau susah menempuh cabaran

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat daulah Islamiyah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi


Selamatlah Parti Islam melangkah
Membimbing ummah ke medan Siyasah
Berpedomankan al-Quran dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah

Read more...

Pengumuman penting

PROGRAM TERDEKAT DI PARLIMEN ROMPIN


CERAMAH UMUM


TARIKH : 1 - 11 - 2009

MASA : 9 MALAM

TEMPAT : MARKAS PAS KERATONG 10

PENCERAMAH :


ANN WAN SENG (PENCERAMAH BEBAS)

RAZALI ALIAS ( S/U PKR PAHANG )


……………………………………………………………………………………………………………………………………


CERAMAH UMUM



TARIKH : 4-11-2009

MASA : 9 MALAM

TEMPAT : MARKAS PAS KERATONG 2


PENCERAMAH :


TUAN HAJI MOHAMAD SABU (AJK PAS PUSAT)

CIKGU BARD ( PIMPINAN PKR PUSAT )

Read more...

Bebas Tapi Sokong?

Akhirnya Ahli Parlimen Pasir Mas menamatkan spekulasinya sebagai MP bebas atas tiket Pas atau menjadi ahli umno. Kenyataannya yang menyatakan masih ‘bebas’ tapi menyokong umno walaupun agak mengelirukan tapi sekurang-kurang menunjukkan stand beliau dalam melayari arus politik yang penuh gelora sekurang-kurangnya hingga tamat penggal PRU yang ke 12 ini.

Ramai gembira terutamanya daripada penyokong Pas dan golongan tidak berparti bukan sahaja dari Kelantan bahkan seluruh negara. Kini jelaslah sudah hatinya milik siapa! Tidak perlu lagi pimpinan Pas menghabiskan masa berbincang dan bermain isu berkenaan Tok Him ini. Lebih baik kita memfokuskan tenaga dan fikiran kepada pembangunan negara dan Ummah daripada berbicara tentang ‘kesilapan’ silam kita ini.

Read more...

Lagi rakyat Rompin perlu bantuan.

Semalam selesai jamuan raya Pas Cawangan Selancar 2 kami mengambil kesempatan untuk menziarahi seorang pelajar yang telah setahun menderita sakit di rumahnya di sini. Bersama rombongan yang di ketuai sendiri oleh Ustaz Kamaruzaman selaku Ketua Cawangan Pas di sini rombongan kami juga disertai oleh Setiausaha Pas KAwasan Rompin saudara Ramli Awang Ahmat , Ketua Dewan Pemuda Pas Rompin Ustaz Nazri Hj Ahmad dan barisan exco pemuda yang lain.


Kami tiba di rumah tersebut lebih kurang jam 9.45 malam. Rupanya rumah tersebut hanya didiami oleh seorang ibu tunggal bersama anaknya Mohd Firdaus Saharuddin.Mohd Firdaus merupakan pelajar tingkatan 5 sekolah Sains Sultan Ahmad, Pekan. Menurut ibunya Puan Shamsiah , Firdaus telah setahun menderita bengkak paha kanan akibat patah semasa bermain bolasepak di sekolahnya setahun yang lalu. Apa yang menghairankan beliau ialah Doktor sendiri tidak dapat mengesahkan apakah jenis penyakit yang dihadapi oleh anaknya itu selain mengalami patah sehingga membengkak sedemikian rupa. Malah menurutnya Para Doktor yang ditemui ada yang menyarankannya agar berubat cara tradisional bagi menyembuhkan penyakit anaknya itu.

Adik Mohd Firdaus merupakan anak ke empat daripada lima beradik yang kesemuanya masih belajar. Beliau merupakan salah seorang pelajar pintar di sekolahnya. Kini setelah setahun tidak bersekolah beliau sendiri tidak tahu bagaimanakah kesudahan pembelajarannya nanti.Sekarang beliau hanya mampu terbaring di tempat tidur sambil di temani ibunya 24 jam sehari. Ibunyalah yang menguruskan segala keperluan untuk beliau baik ke bilik air , solat mahupun makan minum kerana beliau langsung tidak boleh bergerak.

Almarhum ayahnya dahulu seorang peneroka di sini meninggal dunia akibat kemalangan semasa bertugas sebagai rela bersama anggota polis di tanah rancangan ini.

Memandangkan keadaan anaknya yang serius dan perlukan perhatian daripadanya sepanjang masa membataskan masa bagi ibunya mencari rezeki. Apabila diajukan soalan berkenaan pihak yang telah menyalurkan bantuan kami difahamkan pihak Felda tidak lama dahulu telahpun maklum berkenaan perkara ini namun sebarang bantuan tidak jua kunjung tiba.

Kami sempat juga menghulurkan sedikit sumbangan kepada keluarga yang di dalam kesusahan ini sambil berharap ada pihak yang akan tampil memberi bantuan sepatutnya kepada mereka.
Puan Shamsidah boleh dihubungi melalui nombor telefon 019-7028372 atau datang sendiri ke rumahnya di alamat nombor 193 blok 9 , Felda Selancar 2.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka dalam menempuhi ujian yang besar ini.

Bayangkan...telah setahun adik Firdaus ini menderita sebegini.



Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul



Read more...

Pak Kaduk dan Bagan Pinang

Jika dihayati dan dihalusi jalan cerita kemenangan umno pada Pilihanraya Kecil kali ini barangkali ada persamaannya dengan kisah Pak Kaduk. Satu dongeng Melayu yang menggambarkan Si hero yang disangkakan menang tapi sebenarnya hanya berjaya menelanjangkan dirinya sendiri. Imej sebenar umno jelas kelihatan menerusi pilihanraya paling ‘ganas ala-mafia’ ini.


Dari mula lagi bekas Presiden umno Tun Mahathir mengisyaratkan umno boleh menang pada pertandingan kali ini tapi ianya pasti mencemarkan imej dan moral mereka kerana mengambil pesalah rasuah sebagai calon. Seolah-olah sudah tidak ada calon lain yang layak melainkan Isa Samad! Apakah pengajaran yang baik yang dapat rakyat simpulkan daripada calon ini? Politik wang atau rasuah hanya masalah teknikal? Atau rasuah dalam pemilihan umno tidak bermakna seseorang itu akan melakukan rasuah apabila berkuasa? Atau umno sememangnya tidak serius menangani rasuah yang membarah dalam partinya yang kini di tahap kritikal?

Daripada satu sisi lain kelihatan jelas penyelewengan jentera-jentera kerajaan seperti Kemas , RTM dan sebagainya yang hanya berpihak kepada mereka. Janji-janji politik dan pembangunan serta pengagihan bantuan kerajaan sepatutnya tidak menjadi modal atas angin kepada mereka. Bantuan sara hidup kepada nelayan contohnya bukan menggunakan duit umno tapi duit rakyat tetapi penerimanya disuruh berterima kasih kepada ‘kerajaan’. Adakah semua itu tidak termasuk dalam rasuah dan akta kesalahan pilihanraya? Biarlah SPR dan SPRM yang cekap itu menilainya.

Begitu juga dengan gangsterism yang sentiasa mengancam keamanan pilihanraya itu. Para petugas Pas di serang di Markas mereka sendiri malah ada yang dilibas dengan pedang Samurai oleh provokater-provokater upahan di sana. Siapakah yang menjadi dalang kepada pemuda-pemuda yang memakai baju berlambangkan dacing serta membuat kacau di seluruh pelusuk Bagan Pinang? Belumpun Pas menang sudah ada pihak yang seakan cuba mengeruhkan keadaan. Keadaan ini menakutkan rakyat apatahlagi pengundi untuk membuat pemilihan yang waras. Orang Melayu sukakan keamanan dan mereka sanggup berkorban undi jika itu boleh memberikan keamanan kepada mereka. Jentera Pas tidak berkesempatan memesrai dan menangani kehendak pengundi akibat sibuk menjaga keselamatan dan keamanan pilihanraya. Itu jelas menjejaskan kempen mereka.

Jelas di sini kelihatan umno menang bukanlah di atas kekuatan politik mereka sendiri. Umno sudah sangat lemah dan tidak mampu berdiri sendiri. Sebaliknya unsur-unsur seperti yang disebutkan di atas itulah memenangkan mereka. Moral sepertimana yang diperkatakan oleh Tun hanya akan diambilkira apabila ingin menjatuhkan seseorang (ingat Anwar Ibrahim) atau menjadi perisai kepada pemimpin mereka agar tidak dipersoalkan oleh ahli di bawah dengan batasan etika dan disiplin.

Benarlah kisah Pak Kaduk. ‘Ayam’ umno menang tapi moral mereka tergadai. Orang melayu perlu melihat ini dengan pandangan bijak dan mengubah tanggapan segelintir mereka yang menyangkakan umno parti keramat sehingga tidak terfikir betapa perlunya orang melayu Islam dan seluruh rakyat menukar sistem pemerintahan negara yang sentiasa di belit rasuah dan penyelewengan kepada satu pemerintahan yang lebih adil dan beramanah.

Read more...

Sisi gelap di Bagan Pinang.

“Keluar! Keluar! Ini tanah aku dan aku tak izinkan ngko parking kat sini…ngko alih cepat kalau tak nanti tahulah aku nak buat macam mane…aku bakar nanti! @#$#@$@ Baik ngko alih cepat!” …Itu antara kata-kata aluan di hari pertama kami sebaik menjejakkan kaki ke Bagan Pinang. Puncanya salah sebuah kereta petugas Pas (agaknya) meletakkan keretanya di hadapan rumah seorang penduduk di situ. Rumah itu kelihatan kosong dan seakan ditinggalkan barangkali menjadi sebab sahabat itu meletakkan kenderaannya di situ. Tanpa ingin memanaskan keadaan sambil meminta maaf sahabat itupun mengalihkan keretanya.


Saya yang ada berdekatan terkejut melihat aksi yang di luar kebiasaan orang Melayu ini. Sejurus kemudian selang beberapa saat kelihatan di jalanraya berlaku pergaduhan antara ‘Tuan Tanah’ tersebut dengan seorang yang lain pula dan cepat-cepat disuraikan oleh petugas Pas dan pihak Polis.

Satu lagi pengalaman pahit yang dihadapi penulis ialah apabila melihat seorang ibu tua yang sakit ditengking oleh anaknya sendiri di hadapan orang ramai. Peristiwa berlaku di Markas Dewan Ulama di mana ibu tua tersebut datang ke situ untuk mendapatkan rawatan alternatif melalui Doa-doa yang ditawarkan di situ. Semasa ibu itu duduk untuk mendapatkan rawatan tiba-tiba datang seorang lelaki (dipercayai anaknya lingkungan 20 an) menaiki basikal sambil mengherdik “ Mak! Mak buat apa kat sini??? Balik!” dengan wajah yang masam mencuka. “Mak nak berubat” Jawab ibu tua tersebut denga perlahan. “Balik!!!” Sekali lagi pemuda itu menengking ibunya dan dengan wajah sedih ibu tua tersebut berlalu pergi. Barangkali beliau takut ibunya akan mengundi Pas! Peristiwa ini diperhatikan oleh ramai petugas Pas yang sedang membuat persiapan untuk program munajat di malam tersebut. Terkedu dan tergamam hati kami melihat insiden tersebut malah di hati saya berdebar takut Allah menurunkan balanya akibat penderhakaan tersebut di saat saya berada di sana. Maklumlah sekarang kerap sangat Tsunami , gempa-bumi dan ribut taufan berlaku di sekitar kita.


Itu antara rencah di luar kebiasaan yang boleh ditonton oleh sekalian petugas yang hadir ke sana. Di kaca TV dilaporkan petugas Pas yang mengganas! Ini sangat tidak adil dan memusingkan fakta 180 darjah! Rata-rata petugas Pas kelihatan berdisiplin dan amat menjaga tingkah-laku mereka dalam menyantuni masyarakat tempatan mahupun petugas lawan. Tidak ada satu insiden pun sama ada pergaduhan atau provokasi yang berlaku di Bagan Pinang berpunca daripada petugas Pas. Tidak ada. Masyarakat Malaysia berhak untuk mengetahui keadaan sebenar selain putar belit media yang berat sebelah.

Insiden petugas Pas diserang di Markas mereka sendiri! , insiden pihak yang menyerang anggota Polis berpakaian biasa yang disangkakan petugas Pas dan sebagainya dilaporkan dalam keadaan yang terbalik daripada kejadian asal. Hebat permainan media yang tidak memikirkan etika , moral , Dosa dan Pahala. Alangkah baiknya jika Pas dan PR mempunyai media cetak dan saluran TV sendiri untuk memberikan pilihan maklumat kepada rakyat.


Adalah tidak adil jika label ganas di labelkan untuk Pas memandangkan keganasan yang dilakukan semuanya berpunca daripada pihak lain. Malah tidak dapat dinafikan tidak ada parti lain di Malaysia ini yang boleh mendisiplinkan ahlinya seperti yang dilakukan Pas. Walaupun diprovoke dengan berbagai cara namun pimpinan tetap menasihatkan agar akhlak Islam yang diperjuangkan dijaga. Sabar dan bertolak ansur…itulah pendekatan yang diambil dengan harapan rakyat Malaysia dan pengundi di Bagan Pinang khususnya dapat menilai sendiri siapakah yang benar dan salah. Tapi malangnya mereka didedahkan dengan cerita yang sebaliknya oleh TV dan suratkhabar yang tidak amanah.



Read more...

Berdoalah wahai Muslimin-Muslimat!



Ya Allah,Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh2 kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan2 merekaYa Allah,Leburkanlah kumpulan2 mereka Pecah belahkan dan kacau-bilaukan persatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka Dan hantarkanlah anjing2 kamu kepada mereka. Wahai tuhan yang gagah perkasa Wahai tuhan yang penuh raksasa Wahai tuhan yang bersifat murka Ya allah Ya allah Ya allah Ya allah, Wahai tuhan yang menurunkan kitab, Wahai tuhan yang mengarakkan awan Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab Kalahkan mereka Kalahkan mereka Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka...Qunut Nazilah.


P/S -
Kepada Ahli dan penyokong Pas yang tua , uzur dan tidak ada kesempatan untuk bertugas di Bagan Pinang alangkah baiknya kalian menubuhkan kumpulan-kumpulan yang sentiasa berdoa , berzikir ,bermunajat kepada Allah untuk kemenangan Islam Di Bagan Pinang..jangan hentikan munajat kita sehingga diberikan kemenangan oleh Allah! Jangan kita sekadar menjadi pemerhati kepada peristiwa sebaliknya biarlah kita juga memainkan peranan di dalamnya

Read more...

Layakkah perasuah menjadi pemimpin?

Jika persoalan ini tidak ada kena mengena dengan mana-mana pilihanraya apakah jawapan sebenar yang akan diterima daripada setiap warganegara kita? Hampir pasti tidak ada seorang manusia yang waras fikirannya mahu berpemimpinkan seorang perasuah dan penyeleweng. Mereka tahu akibatnya negara akan hancur , masyarakat akan punah dan institusi kekeluargaan akan porak-peranda jika pemimpin di kalangan mereka hanya tahu mengenyangkan perut sendiri tanpa membela nasib rakyat.


Banyak contoh negara di dunia yang indeks rasuahnya di tahap merudum meninggalkan kesan yang amat buruk kepada rakyatnya. Yang kaya bertambah kaya kerana ‘pandai’ menggunakan wang sementara yang miskin semakin melarat kerana tidak ada peluang untuk mengubah kehidupan kerana dinafikan oleh perasuah-perasuah yang umpama tuan! Di kaca TV boleh kita lihat pemimpin mereka hidup senang-lenang sementara rakyat merempat di tepi jalan.

Justeru itulah perlu kita sebagai rakyat Malaysia yang masih berpeluang memilih pemimpin dalam sistem pilihanraya agar memilih pemimpin atau parti politik yang jujur dan terhindar daripada budaya rasuah. Mana-mana pemimpin yang menyeleweng dan oportunis sama ada daripada Pas , PKR , DAP mahupun UMNO dan Barisan Nasional harus kita tolak. Sebagai rakyat yang cintakan negara sudah tentunya kita mahukan sebuah negara yang makmur dengan kehidupan rakyat yang sejahtera yang ghalibnya berpandukan kepada golongan yang memimpin mereka.

Oleh kerana berkebetulan dengan Pilihanraya Kecil Bagan Pinang , kita berharap agar rakyat di sana memilih calon yang betul. Fikir dan nilaikanlah dengan akal dan penanda aras agama. Jika ada pemimpin Pas itu pernah disabitkan kesalahan kerana menyeleweng dan rasuah maka tolaklah mereka. Namun jika sebaliknya UMNO yang terbukti menyeleweng maka janganlah lagi mengundi mereka. Semua rakyat sama ada Petani , Nelayan , Peniaga mahupun anggota tentera haruslah berani membuat pilihan untuk kebaikan generasi kita yang akan datang. Semoga Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada kalian.

Read more...

Rakyat Rompin yang perlu pembelaan!

‘Sedih dan emosi’ begitulah komen ahli rombongan exco DPP Rompin yang menziarahi seorang ibu tunggal yang menderita keuzuran dan hidup dalam serba kekurangan di Kampung Sepakat , Rompin semalam. Sebenarnya pada awalnya Exco Dewan Pemuda Pas Rompin langsung tidak mengetahui di sebalik gambaran kehebatan pimpinan YB Tioman dan MP Rompin , Dato’ JJ ini ada sebuah petempatan yang seakan masih di era 60-an. Hanya lebih kurang 5 kilometer daripada Bandar Rompin mereka hidup di kampung yang laluannya hanya tanah dan becak seakan langsung tidak mendapat perhatian daripada Yang Berhormat!. Itu belum lagi melihat keadaan rumah mereka yang kebanyakannya amat menyedihkan jika dibandingkan dengan rumah Dato’ JJ yang tersergam indah di Muadzam Shah!


Berbekalkan maklumat awal daripada saudara Mohamad , Pengerusi Lujnah Kebajikan Dewan Pemuda kami sampai di rumah tersebut kira-kira jam 8 malam. Kami disambut oleh anak dan menantu ibu tunggal tersebut dengan mesra dan penuh ukhwah. Ibu tunggal tersebut Puan Ramlah Bakar rupanya telah sebulan terlantar sakit dan tidak mampu bergerak. Menurut menantunya , Ibunya itu disahkan oleh doktor mengalami jangkitan kuman di kaki dan kelihatan keadaannya amat serius. Setelah beberapa kali berulang-alik ke Hospital sekarang mereka memilih untuk menggunakan perubatan tradisional sebagai alternatif.

Selain menjaga ibunya yang sakit menurut Puan Azlina mereka juga menjaga lima orang anak termasuk tiga orang anak saudara mereka yang masih kecil. Suaminya yang hanya bekerja sendiri menjadi tonggak untuk meneruskan kehidupan keluarga ini. Ustaz Nazri, Ketua DPP Rompin bersama rombongan yang lain sempat beramah mesra dan menyelami kesukaran yang dideritai oleh mereka. Walaupun keadaan hidup mereka sukar dan serba kekurangan namun ketabahan jelas terpancar diwajah yang telah sekian lama menempuh detik-detik sukar ini.

Menurut makluman yang diterima belum ada mana-mana pihak daripada umno Barisan Nasional selaku pemimpin di sini yang hadir membantu. Dato’ Jamaluddin Jarjis Ahli Parlimen Rompin kini dilantik menjadi Duta ke Amerika dan membataskan masanya di sini. Beliau yang dengar ceritanya boleh bersembang dengan rakyat Rompin melalui internet barangkali sangat sibuk dengan tugas barunya itu.

Setelah memberikan sedikit sumbangan daripada Dewan Pemuda Pas Rompin kami bersama-sama sempat membacakan doa agar Allah memberikan keringanan kepada keluarga ini. Sesiapa yang ingin menghulur sumbangan bolehlah menghubungi terus Puan Azlina di nombor 017-7911606 atau Ustaz Nazri selaku wakil Pemuda Pas Kawasan di nombor 019-9864379. Berdasarkan pemerhatian kami segala bentuk bantuan perlulah disegerakan memandangkan keadaan hidup mereka tidaklah bernasib baik seperti keluarga yang lain.

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP