Assalamualaikum ,Pemuda Muadzam Shah bersama dalam menyampaikan info yang bermanafaat,,, terima kasih atas ziarah anda......

Pena pengarang...

Sedar tidak sedar tahun baru masihi berganjak lagi. Meninggalkan 2009 yang penuh nostalgia manis dan pahit di benak sanubari masing-masing. Sudah menjadi kebiasaan menjelang tahun baru azampun baru walaupun kebanyakannya azam lama masih bersisa untuk dilaksanakan. Bagi para blogger sudah tentulah tahun lalu menjadi tahun sibuk akibat terlampau banyak isu yang perlu ditangani dan tidak menang tangan untuk mengulasnya satu persatu.

Key Performance indeks , Kepimpinan Najib , Bajet yang hampir gagal , Kematian Teo Beng Hock , Penyelewengan dana PKFZ ,Isu Tok Guru dan PMKBnya , dan yang terbaru kehilangan dua buah enjin jet benar-benar perlu dibahaskan dengan penuh wacana dan ilmiah. Ramai blogger atau penulis yang menulis mengikut hati dan rasa serta cenderung kepada minat politik masing-masing , Ada yang jujur mengemukakan hujah yang bernas dan lojik. Dan ada juga yang sekadar menembak fitnah membuta tuli sekadar kepingin meraih khalayak pembaca tidakpun mengahrapkan hit yang tinggi di laman karya masing-masing. Begitulah ghalibnya manusia yang mengharapkan perhatian dan penghargaan.

KPI

Antara perkara pertama yang dihighlightkan Tok Jib sebaik sahaja mengangkat sumpah Perdana Menteri keenam negara. Bunyinya menarik dan jika benar-benar dilaksanakan mungkin membawa sedikit-sebanyak kebaikan kepada negara terutamanya prestasi para Menteri dan Wakil Rakyat. Tapi setakat ini masih belum nampak jelas KPI ini membawa perubahan besar kepada barisan pemimpin utama negara kerana ekonomi tetap malap , masalah jenayah dan sosial makin menjadi-jadi , dan keselesaan rakyat terbanyak tetap tidak berubah. Barang tetap mahal dan pengangguran melata di bandar dan desa. *Barangkali tahun ini bapak menteri lebih banyak menyelesaikan kemelut dalaman parti masing-masing berbanding berkhidmat untuk rakyat.

Prestasi Najib

Ada yang berpendapat prestasi Najib masih sukar diukur walaupun hampir setahun mentadbir negara. Jika diukur dengan prestasi ekonomi Najib masih masih gagal malah bajetnya sendiripun hampir gagal, Jika diukur dengan statistik kadar rasuah dan jenayah masih juga gagal malah jika diukur dengan kecekapannya sebagai Pengerusi Barisan Nasionalpun beliau masih gagal. Kebanyakan komponen BN berantakan dan terheret dalam konflik yang entah bila akan sudah. Nampaknya ` tranformasi besar’nya belum menjadi kenyataan. Pendek kata setakat ini KPI beliaulah paling merudum!

Tok Guru dan Kelantan

Isu Tok Guru Nik Aziz dan PMKB sedikit sebanyak meninggalkan kesan dihati masyarakat. Negatifnya ianya melibatkan beberapa kerat orang yang selama ini dipercayai dan mempunyai nama besar dalam Pas. Ditohmah sebagai politik suku-sakat dan campurtangan keluarga dalam Parti dan urusan negeri. Fitnah!. Tidak sukar mengejutkannya. Yang positifnya masyarakat melihat Pas seakan tidak lagi dilindung tembok tebal yang menghalang masyarakat menonton persembahan politiknya. Barangkali kini agak terbuka dalam berbincang halatuju dan permasalahan parti namun masih di ruang lingkup disiplin berjemaah. Boleh berbeza pendapat dan buah fikiran dalam usaha merealisasikan dasar dan fikrah yang satu. Islam syumul.

Dua enjin lesap wal-ghaib

Kita memang terkejut dengan perkara yang agak mustahil ini berlaku. Kita Pasti akan lebih terkilan lagi jika memikirkan moral atau pengajaran daripada kes ini. Adakah keselamatan negara masih ditahap lemah sehingga mudah dinodai oleh si pengkhianat mata duitan? No komen!. Apa yang pasti kita tidak sesekali boleh berkompromi dengan anasir yang boleh menggugat keselamatan negara dan rakyat.


Tahun 2009 meninggalkan kesan besar kepada siasah politik negara. Secara umumnya seakan sedikit demi sedikit perubahan ke arah yang lebih positif mungkin berlaku. Politik matang dan bukan politik rimba. Rakyat pula semakin bijak berpolitik dan menilai sesuatu isu melalui pandangan yang luas lagi bermaklumat serta bukan lagi disempitkan oleh agenda pihak tertentu yang berkepentingan. Itulah sinar harapan dalam senario politik negara yang jika berterusan akan mendatangkan kebaikan kepada negara dan rakyat amnya.

Sebagai blogger yang baik seseorang itu mestilah rasa bertanggungjawaban dalam penulisannya. Tidak boleh lagi ikut rasa dan memfitnah melepaskan geram di dada. Berpendapatlah dengan pendapat yang baik dan berikanlah sedikit jalan penyelesaian dalam apa jua isu untuk manfaat negara dan rakyat.

Semoga tahun 1431H dan 2010 menjanjikan medan yang seronok untuk berblogger. Selamat tahun baru 1431 hijrah dan 2010M.

Read more...

Kebakaran di Bukit Ibam

Rompin 29 disember - Hari ini telah berlaku satu kebakaran besar di perkampungan Bukit Ibam. Kebakaran ini melibatkan sebuah rumah penduduk kampung yang berlaku kira-kira jam 2 petang. Api marak dengan pantas dan keseluruhan rumah 80 peratus binaan kayu ini hangus tidak sampai satu jam.

Sebuah jentera bomba daripada skuadron TUDM Bukit Ibam bersama tujuh orang anggota sampai ke tempat kejadian ketika api sedang marak dan mereka mengambil masa 15 minit untuk mengawal api supaya tidak merebak ke rumah yang berdekatan. Sejurus kemudian sebuah lagi jentera bomba daripada balai bomba dan penyelamat bandar Muadzam Shah tiba untuk memadamkan saki-baki kebakaran dan kebakaran dipadam sepenuhnya sejam kemudian.

Kebakaran yang belum diketahui puncanya ini mengakibatkan mangsa Puan Ayu bersama keluarganya tinggal sehelai sepinggang. Beliau yang ditemui ditempat kejadian kelihatan terkejut dan sedih dengan malapetaka yang tidak disangka-sangka ini. Nasib baiklah semasa kejadian beliau dan anak-anaknya sempat meyelamatkan diri namun segala alatan rumah dan alatan persiapan sekolah untuk anak-anaknya hangus dalam kebakaran ini.

Menurut keterangan saksi di tempat kejadian mereka menyatakan api marak dengan begitu pantas sehinggakan mereka tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda mahupun rumah ini. Tambahan pula hari ini cuaca agak terik berbanding beberapa hari sebelumnya .

Kelihatan ada di kalangan penduduk kampung mengambil inisaitif segera dengan mewujudkan tabung derma kilat untuk membantu keluarga malang ini. Mereka juga mengucapkan terima kasih atas bantuan segera daripada pasukan bomba Skuadron TUDM Bukit Ibam dan anggota bomba diri Balai Bomba & Penyelamat Muadzam Shah yang bertungkus-lumus mengawal api agar tidak merebak ke rumah berdekatan.

Gambar sekitar kejadian











Read more...

Pakatan Rakyat makin digeruni

Demontrasi sekumpulan `orang’ yang mengaku sebagai ahli dan pengundi Pas di Selangor jelas menghantar mesej gembira kepada ahli gabungan Pakatan Rakyat. Ini bererti kehadiran gabungan alternatif ini membangkitkan kegerunan lawan politik akibat mendapat kepercayaan besar daripada rakyat kebelakangan ini. Persefahaman dan perpaduan yang makin dieratkan seakan dicemburui apatahlagi apabila membayangkan pimpinan Pas , DAP serta PKR boleh duduk semeja dan membincangkan strategi serta membulatkan tekad untuk menjadi kerajaan memerintah selepas pilihanraya umum yang ke 13 akan datang. Satu permuafatan yang satu masa dahulu mustahil sekarang boleh berlaku.

Manakan tidak di saat umno dan komponen BN yang lain bergolak hebat bagai retak menanti belah Pakatan Rakyat boleh mengenepikan perbezaan malah mencari titik persamaan dan berkongsi wadah seperti yang dimeteri dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu. Graf prestasi yang kian hari mencanak ternyata amat dicemburui oleh musuh politik yang akhirnya menerbitkan `drama hebat’ yang menjadi persendaan ramai itu. "Pakatan Rakyat mesti dipecahkan dan setiap ahlinya perlu diracuni dengan prejudis yang harapan akhirnya akan memecahkan kesatuan ini". Barangkali itulah sinopsis cerita yang diberikan oleh pengarah drama ini kepada para pelakonnya. Ternyata mereka terlewat sepuluh tahun untuk memplotkan sitron sebegini. Pakatan Rakyat sekarang bukan lagi anak-anak kecil yang boleh diumpan dengan sekupang gula-gula. Walaupun belum semantap zaman kegemilangan BN dahulu tapi tidaklah selemah BN sekarang.

Hari ini sebahagian besar landskap politik di Malaysia diwarnai oleh percaturan Pakatan Rakyat. Walaupun baru setahun jagung berkuasa di beberapa buah negeri tetapi perubahan yang besar dapat dirasakan rakyat. Suatu masa dahulu rakyat hanya mendengar dongeng dan gendangnya nya sahaja tetapi kini menjadi kenyataan apabila kerajaan baru mengambil-alih teraju di beberapa negeri. Pengamalan pemerintahan yang telus , hemah dalam berbelanja wang rakyat , sifar rasuah serta bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan mula membuka mata rakyat terbanyak. Jika sebelum ini siapa yang pandai mengampu dan membodek dialah yang kenyang sekarang tidak lagi. Sedikit demi sedikit perubahan dilakukan agar kehidupan rakyat lebih aman dan makmur kerana itulah yang sepatutnya mereka dapat sejak puluhan tahun yang lalu.

Keadaan ini barangkali amat ditakuti oleh mereka yang tidak amanah dengan mandat rakyat. Pangkat dan kuasa tidak boleh lagi menjadi tiket untuk terus mengaut kekayaan peribadi dan kaum keluarga . Gelaran `YB’ belum tentu lagi dipuja dan dihormati jika tidak bekerja sepenuh hati untuk agama , negara dan rakyat! Justeru itulah perancangan demi perancangan diplotkan untuk menjatuhkan kredibiliti Pakatan Rakyat. Tidak hairanlah jika selepas ini ada lagi adegan-adegan sebegini yang direka-reka dengan tujuan cuba memberi gambaran buruk kepada pakatan baru ini agar tidak lagi menjadi pilihan rakyat terutamanya dalam pilihanraya yang akan datang.

Read more...

Tuduhan berat ke atas ‘pembangkang’!

Ahli Parlimen Maran , Datuk Ismail Abdul Muttalib menerusi kenyataanya kepada akhbar Sinar Harian 19 disember menyifatkan pihak pembangkang di `sentiasa cuba meracuni fikiran rakyat’. Beliau juga menyifatkan pembangkang sentiasa tidak senang dengan setiap usaha kerajaan dengan memutar belit pelbagai isu bagi menjatuhkan kerajaan dengan cara yang kotor. Ini tuduhan yang amat seius!

Jika perkara ini benar-benar diperkatakannya ini adalah satu tuduhan yang amat berat dan sewajarnya diambil perhatian oleh barisan kepimpinan Pakatan Rakyat. Di tuduh sentiasa cuba meracuni fikiran rakyat seakan menggambarkan pihak PR ini berada di pihak yang salah dan seakan mengajak rakyat berbuat sesuatu yang buruk!. Ini silap dan satu pertuduhan yang perlu diperbetulkan. Adakah rakyat di enam buah negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat termakan pujuk rayu kosong dan ‘racun’ sehingga mendapat kepercayaan untuk memerintah negeri? Betapa singkatnya hujah dan mentaliti kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional dalam usaha untuk memenangi hati rakyat. Pakatan Rakyat di’kambing hitam’kan untuk menutup kelemahan mereka mentadbir negeri dan negara. Tidak serik lagikah mereka dengan penangan keramat rakyat dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu yang sudah muak dengan politik kotor dan tidak bertamadun.

Berdasarkan Laporan Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat lebih berinterigiriti dan positif dalam berbelanja dan menjaga kebajikan rakyat. Laporan audit jelas mengesahkan pengurusan kewangan di negeri-negeri Pakatan Rakyat lebih bijak dan berhemah manakala di negeri lain terdapat penyelewengan dan pembaziran. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa jua pun.( Boleh rujuk laporan Audit Kerajaan Negeri Pahang sebagai contoh ).Tidak perlulah mengelirukan rakyat dengan tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan untuk mengekalkan kuasa.

Menurut Datuk Ismail lagi ` tindakan rakyat menyokong pembangkang akan menyebabkan masa depan bagi pembangunan penduduk di sesuatu kawasan akan terjejas ‘. Atas penanda aras manakah beliau tanpa segan-silu berkata sedemikian? Di negeri manakah kadar kemiskinan penduduknya yang paling tinggi ? Adakah Kelantan , Terengganu , Perlis atau Sabah? Malah di Pahang sendiripun masih ada perkampungan yang belum mendapat bekalan air , elektrik mahupun Jalan raya walaupun hanya beberapa puluh kilometer dari bandar.

Sedih dan tragis jika masih ada pimpinan di alaf baru yang masih menyanyikan lagu lama untuk meraih perhatian khalayak. Kekeringan hujah dan idea. Barangkali pemikiran mereka masih ketinggalan sepuluh tahun ke belakang apabila beranggapan rakyat masih lagi boleh di`bodoh’kan dengan helah pembangunan sedangkan apa yang diperkatakan tidak berpadanan dengan apa yang dibuat. Setelah lebih 50 tahun pemerintahan BN , kemiskinan tegar tidak juga dapat di hapuskan , begitu juga dengan kes rumah setinggan bagi rakyat yang tidak berumah , jenayah , masalah sosial dan sebagainya sehingga tidak perlu kita menilai sejauh mana kecekapan mereka mencari sumber kewangan baru negara kerana selain bakal mengenakan cukai GST, hasil balak dan menyedut untung Petronas mereka sudah tidak mampu berfikir ke arah lain.
Dalam keadaan itupun masih ada wakil rakyat mereka yang ingin menyalahkan `pembangkang’! Adakah rakyat akan mengambilkira fakta ini dalam pilihanraya yang akan datang? Wallahualam!

Read more...

Kebetulan yang gagal

Hampir sahaja kerajaan lebih setengah abad BN tumbang dalam beberapa malam yang lalu. Walaupun hampir tewas tetapi mereka tetap menang walaupun dengan kelebihan tiga undi. Waima dengan kelebihan satu undi sekalipun mereka tetap boleh berdiri megah bersorak selagi mereka menang. Ke manakah hilangnya wakil rakyat Pakatan Rakyat yang hampir 19 orang itu pergi sehingga tidak membolehkan mereka hadir untuk prosoes perbahasan dan pengundian bajet pada malam itu. Pedulikan ke mana ghaibnya rakan debat BN mereka yang tidak hadir kerana itu urusan mereka. Dan biarkanlah rakyat menilai komitmen mereka. Apa yang boleh dimuhasabahkan ialah seteguh mana kekuatan Ahli Parlimen daripada PR untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengubah landskap politik negara yang berkecamuk ini.



Jika masa tidak melupakan kita suatu masa dahulu di saat Dewan Undangan Negeri Kelantan berkelebihan satu kerusi di pihak Pas dan berada dalam keadaan yang amat genting hinggakan wakil rakyat kita yang uzur di usung ke Dewan Undangan Negeri untuk menghadiri perbahasan dan mengundi untuk kepentingan parti dan rakyat mengapa tidak sekarang? Adakah kita fikir kita sudah dalam keadaan yang amat selesa? Ahli Parlimen yang gagal hadir ini sangat bernasib baik jika tidak diminta untuk meletakkan jawatan oleh ahli dan rakyat!


Kalian telah diberi amanah. Kepentingan peribadi , urusan keluarga dan sedikit keuzuran bukan lagi boleh dijadikan alasan untuk tidak menghadirkan diri dan mengambil bahagian dalam perbahasan baik di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri. Agama , negara dan rakyat perlu diletakkan di nombor wahid. Kalian perlu memenuhi tuntutan ini walaupun terpaksa merangkak!


Kegagalan untuk menggunakan kesempatan yang terbuka luas itu sepatutnya telah menjadi pengajaran kepada setiap pimpinan Pakatan Rakyat terutamanya Pas. Kita sedang dinilai dan diberi sedikit peluang oleh rakyat. Anggaplah ini proses pentarbiyahan dan pendewasaan oleh mereka. Barangkali sedikit hari lagi peluang yang lebih besar diberikan dan untuk itulah persediaan dan komitmen amat penting untuk mengisi kemenangan. Jangan rosakkan peluang ini kerana kita disibukkan dengan urusan masing-masing atau gagal menilai yang mana satukah lebih penting.


Read more...

Tahniah pasukan bolasepak negara!

Sekalung tahniah kami ucapkan atas kejayaan pasukan bolasepak negara ke Sukan Sea di Laos kerana memenangi pingat emas di temasya ini. Akhirnya penantian berpanjangan selama 20 tahun membuahkan hasil yang mendatangkan kegembiraan kepada sekalian rakyat.

Ini membuktikan kita bukanlah terlalu kerdil jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain di Asia Tenggara ini. Harapan kami dan harapan rakyat Malaysia amnya semoga pencapaian yang memberangsangkan ini berpanjangan dan mengharumkan nama negara.

Tahniah sekali lagi.

Read more...

Rakyat didahulukan?

Beberapa hari yang lalu Ahli Parlimen Rompin , Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis telah merasmikan sebuah persidangan di Rompin melalui sidang video dari Amerika Syarikat. Sidang video yang di tonton oleh hampir 300 penduduk etnik orang Asli di Rompin ini hanya berlangsung selama 10 minit. Cukupkah untuk mengisi kekosongan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen di sini?

Siapakah yang akan memikul guni beras dan gula untuk di agihkan kepada golongan susah dan amat memerlukan perhatian daripada pemimpin mereka? Apatah lagi sekarang musim hujan dan angin monsun yang kuat. Para Nelayan tidak betah untuk turun ke laut kerana membayangkan risikonya. Begitu juga para penoreh getah yang selama ini mengharapkan hasil daripada jualan getah sekerap semata-mata. Dapatkah mereka menoreh getah dengan cuaca yang sebegini? Siapakah yang sepatutnya mengambil berat kepada kebajikan golongan ini jika tidak pemimpin yang telah mereka pilih dalam pilihanraya umum yang lalu. Pemimpin yang berelaun dan di bayar gaji untuk berkhidmat untuk rakyat!

Memang sudah kedengaran suara-suara yang akan membuat perubahan dalam pilihanraya umum nanti. Kebanyakan rakyat di sini sudah muak dengan janji dan sembang pemimpin yang hanya tahu menabur janji dan kemudiannya mendendangkan semula menjelang pilihanraya. Tapi jika pilihanraya akan datang diadakan pada tahun 2012 siapakah yang mampu menggalas kelemahan yang ditinggalkan pemimpin sekarang? Oleh itu tidak hairanlah jika saban hari pimpinan Pas di sini didatangi oleh masyarakat tempatan untuk mengadu hal dan memohon bantuan. Dengan kemampuan dan sumber yang terhad mahu tidak mahu setiap aduan masyarakat tetap ditangani sedaya mampu.

Kes permohonan tanah di sungai Peha , Muadzam contohnya telah berlarutan beberapa kali pilihanraya. Begitu juga dengan janji untuk membina Surau di Desa Cempaka Muadzam yang sehingga kini senyap entah ke mana. Itu belum lagi mengambil-kira kemudahan asas di perkampungan orang Asli yang amat daif. Di Kampung Dong dekat Meripoh contohnya mereka minum hanya menggunakan air perigi kecil untuk 10 buah keluarga dan mandi di ‘kolam’ yang berdekatan. Mereka juga telah dijanjikan untuk kemudahan elektrik , Surau , Balairaya , Jalan Tar , dan air bersih tapi hingga kini janji hanya tinggal janji. Pimpinan Pas baru-baru ini berkunjung ke sana dan menghantar sedikit sumbangan serta bergotong-royong membina perigi kerek untuk kemudahan penduduk tempatan. Di mana wakil rakyat mereka disaat mereka mengharapkan bantuan?

Dengan slogan lunak ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ adakah berbetulan dengan khidmat yang mereka berikan kepada rakyat? Rakyat dapat menilai ini dan mereka juga boleh membuat perubahan pimpinan pada masa yang akan datang.

Read more...

Penyerahan fedah Dana Takaful Tabarruk

Pada hari ini 13 Disember telah diadakan satu program penyerahan faedah dana Tabarruk kepada seorang pencarum di Bukit Ibam. Penerima kali ini ialah seorang warga emas yang dikenali sebagai Pak Ayub. Beliau menerimanya bagi pihak Almarhum isterinya yang meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Yang DiPertua Pas Kawasan Rompin , Ustaz Shukri Haji Ahmad telah menyampaikan sejumlah Rm 2500 sebagai baki kepada bayaran terdahulu. Sambil menziarahi tuan rumah yang agak keuzuran YDP sempat juga memaklumkan bahawa program kebajikan anjuran Pas Kawasan ini akan diperluaskan lagi kepada seluruh rakyat di Rompin kerana sambutan terhadapnya amat menggalakkan.

Maklum balas yang diterima daripada masyarakat pula , mereka kini semakin menaruh kepercayaan tinggi kepada Pas dengan usaha murni terbaru Pas ini.

Read more...

Pemuda Pas bersama masyarakat

Dewan Pemuda Pas Rompin hari ini telah mengadakan program gotong-royong bersama masyarakat orang Asli di Kampung Dong , Keratong. Pada kali ini kami telah membantu petugas daripada Pejabat Kesihatan Daerah untuk menggali telaga kerek bagi kegunaan masyarakat di sini. Sebelum ini penduduk kampung hanya bergantung kepada sebuah kolam dan perigi kecil untuk mendapatkan keperluan air harian.

Kampung ini terletak agak jauh daripada kemajuan jika dibandingkan dengan petempatan masyarakat orang asli di tempat-tempat lain. Jalan menuju ke sini hanyalah melalui jalan tanah merah melalui ladang-ladang sawit dan daripada jalanraya utama mengambil masa sehingga 30 minit untuk ke sini.

Program hari ini adalah rentetan aduan awal masyarakat di sini yang menyatakan keperluan untuk mendapatkan keperluan air bersih dan terawat bagi kegunaan hampir 30 orang penduduknya.

Menurut Ketua kampung mereka Batin Klepek bin Tenggek selain masalah air di kampung ini juga tidak ada kemudahan Surau , Balairaya , bekalan elektrik mahupun jalanraya yang baik untuk menghubungkan mereka dengan kemajuan di luar. Kanak-kanak sekolah pula terpaksa menyeberangi sungai dan menggunakan jalan berlopak untuk ke sekolah yang jauhnya 20 minit perjalanan dengan motosikal. Kebanyakan penduduk di sini hanya bekerja di ladang sawit , menoreh getah dan bertani justeru menurut beliau mereka amat mengharapkan bantuan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Sementara itu menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Rompin , Ustaz Nazri Haji Ahmad ini adalah kali kedua Pas Kawasan dan dewan pemuda bertandang ke sini. Kali pertama adalah pada bulan Ramadhan yang lalu dalam program mengagihkan sumbangan sempena hari raya. Menurut beliau pada masa-masa yang akan datang pihak dewan Pemuda Pas akan terus membantu penduduk di sini mengikut kadar yang termampu.

Gambar peristiwa


Pemandangan di sekitar kampung...



Di sinilah kami mendapatkan air untuk minum jika hari tidak hujan.



KP Rompin turut bekerja keras



Batin Kelepek...keluarganya menetap di sini sejak 1948



Berat sama dipikul



KP sedang mendengar luahan rasa Tok Batin



Ada wayar tapi elektrik tidak ada!

Read more...

Rileks Sekejap!


Takut bala atau takut Bala?

Read more...


Salam Eiduladha buat semua pengunjung kami. Berhari Rayalah dalam keadaan ceria dan penuh ukhuwwah..Semoga kegemberiaan kita mendapat keberkatan daripada Allah!

Di hari baik dan bulan yang baik ini jangan jadikan keluarga anda sebahagian statistik tragedi di jalan raya. Berhematlah di jalan raya.

Read more...

Antara Tok Guru dan Tok Jib

Tahun ini barangkali sinonim dengan tahun pilihanraya atau tahun kemelut. Umpama banjir besar tahun 70-an mendapat nama begitu jugalah tahun ini bakal di kenang. Pilihanraya demi pilihanraya bukan saja menguji kekuatan pengaruh parti tapi menguji juga kepintaran jenderal masing-masing. Antara parti yang menjadi tumpuan tahun ini adalah parti yang majoriti mewakili kaum Melayu iaitu Pas dan UMNO. Tok Jib dengan gandingannya Muhyidin beradu pengaruh dan kredibiliti dengan ulama besar Pas Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Masing-masing ada panduan dan halatuju tertentu dalam berpolitik. Umno barangkali bertemakan semangat nasionalisme Melayu(?) sementara Pas menjadikan Quran dan Sunnah Rasul sebagai panduan dalam melayari bahtera politik mereka. Masing-masing mewakili pengaruh besar dalam persada politik negara. Apa yang menarik untuk diperhatikan adalah gaya dua orang tokoh iaitu Tok Guru Nik Aziz dan Tok Jib dalam menyelesaikan kemelut dalaman dan rakan gabungan masing-masing. Tok Jib mewakili gabungan BN sementara Tok Guru pernah di’calon’kan untuk menjadi pengerusi PR.

Lihat sahaja kemelut dalam umno , MCA ,MIC ,PPP serta Gerakan yang tidak tahu bilakah penghujungnya. Setelah kian lama berlarutan Jenderal Tok Jib belum juga dapat menyelesaikan apa-apa masalah. Teguran dan ingatannya terhadap parti komponennya masih tidak mendatangkan apa-apa kesan. Malah konflik sesama mereka semakin teruk hinggakan kenyataan sidang akhbar politik mereka seakan lebih banyak daripada kenyataan sebagai pemimpin negara! Adakah Tok Jib sudah hilang pengaruh ( Atau tidak pernah berpengaruh ) di kalangan parti komponen mereka hinggakan masalah sebegitu kecilpun tidak boleh diselesaikannya? Di manakah idea hebat pemimpin perubahan umno ini? Kini tanggungjawab ini dilepaskan pula kepada timbalannya Muhyidin. Andaikata masalah ini berjaya diselesaikan Muhyidin barangkali akan kelihatan Muhyidin lebih pintar dan bijak bernegosiasi daripada bosnya sendiri.

Satu Malaysia yang dilaungkan merekapun semakin keliru di mata rakyat apabila melihat pemimpin bercakaran dan bertelagah sesama mereka di atas sementara menyeru pula mereka kepada rakyat di bawah agar bersatu.Satu Malaysia!. Adakah mereka lupa peribahasa Melayu yang Si Ketam tidak boleh mengajar anaknya berjalan betul kerana dia sendiri berjalan senget?
Lain pula ceritanya dengan pendekatan yang diguna pakai Tok Guru Nik Aziz . Apabila melihat sebahagian ‘orang’ Pas seakan sudah mula lena dan terlalu asyik berpolitik cepat-cepat beliau menyergahnya. ‘Pas mesti konsisten berdiri di atas dasar Quran dan Hadis dan anasir luar tidak dibenarkan sama-sekali menjadi anai-anai dalam Pas’ Huhh! Dua minggu kemudian masalah selesai. Tidak ada lagi ruang untuk dimanipulasi musuh dan ahli Pas bersiap-siaga dengan anasir jahat yang cuba melemahkan parti.

Begitu juga dalam isu Ariffahmi dan kerajaan negeri. Kepantasan Tok Guru dan Presiden Pas berjaya meredakan masalah yang baru saja menonjolkan kepalanya. Masalah selesai dan rakyat tidak tertipu. Amat mudah rupanya berpolitik cara Islam yang mana penyelesaian masalah diceduk saja dari sumbernya , Quran dan As-Sunnah!. Politik bukan matlamat namun sekadar jalan untuk mencapai matlamat!

Jika dibanci dan dibanding secara adil kepimpinan Pas lebih bijak menyelesaikan apa jua kemelut yang mendatang. Semuanya diselesaikan secara gentelman dan bersih. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan baik daripada ahli mahupun rakyat jelata. Itulah bukti kepimpinan yang bijak dan berkarisma. Golongan seperti inilah yang layak memimpin negara.
Masalah utama dalam kelompok yang lain yang cuba menyelesaikan masalah di kalangan mereka adalah kepentingan diri dan poket masing-masing. Kalung kuasa yang ada dileher mustahil dilepaskan kerana menjadi tiket kepada kekayaan harta dan pengaruh! Rakyat dan ahli parti? Terkemudian di belakang.Rakyat banyak menilai ini. Barangkali kerana kesedaran rakyat inilah mereka tidak berani berdepan dengan rakyat di Kota Seputih.

Read more...

Kota Seputih sebagai penanda aras.

Jika tidak ada aral melintang negara barangkali akan berdepan dengan satu lagi Pilihanraya kecil. Kali ini di DUN Kota Seputih. Dikatakan jika tidak ada aral melintang kerana sedang menunggu keputusan rayuan SPR(?) dan UMNO yang sebolehnya masih ingin mempertahankan kerusi tersebut walaupun bekas Adun mereka itu gagal menghadiri dua kali sidang DUN berturut-turut tanpa kebenaran speaker dewan. Gagal menghadiri sidang DUN tanpa asbab yang jelas maknanya mengabaikan amanah rakyat dan pemimpin yang sebegini tidak sepatutnya dipertahankan.

Ironisnya jika benar terjadi barangkali inilah Pilihanraya Kecil terakhir edisi PRU 2008 kerana tempoh edah matang pilihanraya tinggal beberapa bulan saja lagi. Tidak boleh dinafikan juga inilah kemuncak detik penting kepada Pakatan Rakyat dan BN. Peluangnya boleh dikatakan samarata. Walaupun terdapat suara nakal yang mengatakan peluang Pas agak tipis namun itu pendapat terpinggir. Rata-rata penganalisis politik berpendapat inilah pilihanraya yang paling baik untuk mengukur kemampuan parti masing-masing. Keputusannya akan memberikan impak yang besar dalam PRU ke 13 akan datang kerana meninggalkan ingatan jangka panjang kepada rakyat.

Bagi Pas inilah peluang untuk membuktikan sokongan golongan muda masih didominasi mereka. Hanya kes terpencil yang berlaku di Bagan Pinang di mana masyarakat mudanya memandang asing kepada Pas sedangkan di tempat-tempat lain dan di bandar-bandar terutamanya Pas menjadi rakan kepada mereka. Begitu juga dengan bukan Islam dan bukan Melayu.

Read more...

Laporan Polis terhadap Felda

Hari ini 12 November sekumpulan Peneroka Felda daripada Felda gugusan Selancar Rompin membuat 13 laporan polis berkenaan keengganan pengurusan Felda menyelesaikan beberapa permasalahan mereka. Mereka meminta jasa baik pimpinan Pas Rompin untuk bersama-sama mereka dalam mencari penyelesaian dan membuat laporan di Balai Polis Rompin pagi tadi.

Antara Aduan yang dikemukakan mereka ialah :

1- Felda tidak membenarkan peneroka melakukan kerja-kerja tanam semula secara persendirian meskipun peneroka telah selesai hutang-piutang dan tidak menandatangani perjanjian pengurusan tanam semula,
2- Felda mendesak peneroka agar mencabut semula anak pokok sawit yang telah ditanam secara persendirian,
3- Peneroka bimbang pokok sawit (pokok tua) mereka akan dimusnahkan jika Felda meneruskan ugutan menceroboh kebun mereka,
4- Peneroka bimbang anak pokok sawit mereka yang telah ditanam akan dimusnahkan oleh Felda,
5- Felda melakukan ugutan seperti menarik balik bonus, insentif hariraya, kelayakan mendapat pinjaman perumahan, melucutkan hak sebagai seorang peneroka dan lain-lain ,
6- Felda enggan menyerahkan Wang Tanam Semula kepada peneroka yang melaksanakan kebun mereka secara persendirian,
7- Felda melakukan pelbagai diskriminasi terhadap peneroka yang tidak menyerahkan pengurusan kebun mereka.

Yang Dipertua Pas Rompin Ustaz Haji Shukri Haji Ahmad bersama pimpinan Pas Kawasan tiba di Balai Polis Rompin kira-kira jam 9 pagi. Menurut beliau Pas Kawasan Rompin telah lama memperjuangkan apa yang dituntut oleh kebanyakan peneroka hari ini. Menurut beliau lagi selari dengan slogan satu Malaysia Rakyat didahulukan Perdana Menteri dan Pihak pengurusan Felda mestilah menyelesaikan perkara ini seberapa segera. Ini melibatkan kepentingan rakyat dan mereka mestilah diberi peluang untuk memilih kaedah yang mendatangkan kebaikan kepada mereka.










Read more...

Oh tanah airku..!


Abang Mat sewaktu berceramah di Keratong beberapa hari yang lalu. Apa yang menarik akhir-akhir ini abang Mat selalu saja mengingatkan adik-adiknya di kalangan Pemuda Pas agar lebih tekun dan bijak mendekati golongan muda dan mendepani arus perubahan politik negara. Kita fikir memang wajar dan amat baik teguran beliau ini. Moga pimpinan Pemuda baik di peringkat Pusat , Negeri mahupun di Kawasan merencana dan menjana kembali semangat 'muda' yang seakan-akan menghilang. Ayuh pemuda...'Pemuda Pas memimpin perubahan' (slogan lagi....sori abang Mat yer!)



Tuah Ayam nampak di kaki.....Tuah badan siapa yang tahu...Orang Umah Tok Jib jumpa kotak dalam bot Pastu dapat 'hadiah' RM7 juta!!!! senamg jer dapat duit tak payah masuk program realiti...!




Kerajaan bla...bla...bla...(baca sendiri) Pulak dah! Ni kalau Pas kata pendekatan yang di ambil membuta-tuli dimarahkan pulak kita ni...Kita berjuang untuk rakyat bukan untuk mengkayakan diri sendiri...Insurans yang mahal tu bila pulak nak kaji???



Ini berita yang tak sedap dengar...adakah ini akibat tidak menekankan agama dalam proses kehidupan? Kita percaya perkara buruk sebegini (dan bohsia , bohjan , dadah ,dedah , rasuah , seleweng , dll) akan berlarutan selagi Islam tidak di daulatkan sebagai cara hidup!


Nota - Keratan akhbar ini adalah daripada akhbar Sinar harian. Hanya akhbar ini sahaja lagi pada pendapat rakyat kebanyakan yang agak telus dalam pemberitaannya.

Read more...

DAP : Sila hormati siasatan Pas!

Kenyataan wakil rakyat Serdang Teo Nie Ching daripada DAP dilihat tidak bersesuaian dengan keadaan di mana Lembaga Disiplin Pas sedang membuat siasatan terperinci berkenaan beberapa insiden di Selangor.Teo meyatakan "Masalahnya dengan Dr Hassan sahaja. Dengan wakil rakyat yang lain tidak ada masalah. Macam wakil rakyat PAS Dr Shafie Abu Bakar di Bangi semua ini tidak masalah,"

Apakah kenyataan ini seolah berbau prejudis seolah Dato’ Dr Hassan Ali bersalah? Kami ahli Pas tidak memilih bulu apatah lagi berkompromi dengan mana-mana ahli atau pimpinan yang menyalahi disiplin parti. Kami juga ada banyak perkara yang boleh diperkatakan (jika ingin). Tapi menghormati siasatan parti lebih utama daripada menyalahkan mana-mana pihak selagi siasatan berjalan.

Begitu juga dalam beberapa insiden lompat parti yang barangkali sedikit-sebanyak akan memberi kesan kepada Pakatan dan rakan lain yang begitu setia menjunjung obor perjuangan suci ini. Tapi Pas tidak melatah apatah lagi menyalahkan sesiapa dalam Pakatan. Bukan tidak boleh bercakap tapi tidak mahu memperbesarkannya!

Kita juga berharap DAP atau PKR selaku ahli intim dalam Pakatan Rakyat menghormati apa yang sedang dilakukan oleh Pas dan tidak mengeruhkan keadaan. Kita fikir bukan sahaja Pas yang perlu memperkukuhkan Parti sekarang sebaliknya rakan-rakan lain juga perlu mengambil perhatian apatah lagi MP dan ADUN yang sering melompat akhir-akhir ini bukanlah daripada Pas!

Jangan campur tangan berlebihan dalam ‘mengambil berat’ rakan Pakatan. Barangkali niat kita baik tapi dikhuatiri hanya akan mengeruhkan keadaan. Akhbar dan pemberita memanglah akan bertanyakan macam-macam perkara kepada pimpinan kita tapi tidak semestinya pendapat peribadi kita dihebahkan kepada media tanpa mengambil-kira kesannya kepada rakan kita Pakatan Rakyat.

Semoga Pakatan Rakyat terus mantop!



Read more...

Siapa lagi mahu keluar?

Kita mempersilakan mana-mana Adun atau MP Pakatan Rakyat yang tidak yakin dengan perjuangan ini mengambil pendirian ‘bijak’ seperti beberapa orang sebelum ini. Kita tidak mahu Pakatan dibebani dengan mereka yang inginkan perkara lain selain perjuangan menegakkan kebenaran dan menguburkan kebatilan.

Kita barangkali langsung tidak terasa hati dengan langkah terbaru ADUN Pelabuhan Klang saudara Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan diri keluar daripada PKR dan menjadi Adun Bebas ( tapi menyokong BN?). Banyak pihak dalam PR terutamanya pimpinan dan penganalisis politik berpendapat hanya mereka yang tahan ujian dan teguh pendirian sahaja yang akan terus menerajui bahtera Pakatan Rakyat hingga ke puncak kejayaan.

Mungkin boleh di jadikan pengajaran kepada barisan pimpinan PR pada masa-masa yang akan datang agar setiap calon yang diketengahkan mestilah seorang yang benar-benar larut dengan perjuangan rakyat. Jangan kerana seseorang itu lepasan tinggi university dalam dan luar negara maka dia boleh memimpin. Silap!. Kepimpinan yang baik tidak boleh diukur dengan sijil akademik semata-mata. Latar-belakang keagamaan , berprinsip ,adil , bijak dan berkomitmen tinggi barangkali boleh dijadikan penanda aras utama dalam kriteria untuk menjadi calon pimpinan. Juga jangan pula dipilih mereka yang hanya pandai bercakap! Cakap berdegar-degar tapi gerakerja di Kawasan dan Cawangan hancur! Mereka hanya pandai mereka-reka alasan dalam banyak keadaan agar kelemahan mereka tidak kelihatan di mata ahli bawahan dan rakyat.

Bersyukur kepada Allah , Adun dan MP Pas masih diberi kekuatan untuk menempuhi ujian dan tekanan sebagai pimpinan terutamanya dalam demokrasi ala-Malayisa ini. Mungkin kekuatan ini lahir daripada proses tarbiyyah yang berpanjangan daripada pimpinan yang terdahulu serta kesedaran yang tinggi terhadap amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Jika mengharapkan kesenangan dan kemewahan dunia Pas dan Pakatan Rakyat bukanlah medan yang sesuai untuk mengadu nasib. Lebih baik menjadi seorang manusia yang bermaruah dengan tidak memperjudikan amanah yang diberi rakyat. Kita mengharapkan secara professional dan gentleman agar semua Adun dan MP Pakatan Rakyat yang tinggal menetapkan pendirian.

Lebih baik perjuangan ini didokong oleh sedikit yang istiqamah daripada ramai yang tidak berprinsip! Siapa lagi mahu keluar??? Silakan!

Read more...

Apa yang kita harapkan?

Apapun keputusan yang bakal terhasil daripada mesyuarat khas kita hari ini tentunya bakal membawa Pas terus menerajui persada politik tanah air. Sebagai parti yang menjadi perhatian seluruh dunia pimpinan Pas mengambil langkah yang pantas dan bijak serta matang bagi menyelesaikan sedikit kekeliruan ini di meja rundingan. Barangkali ini yang di cemburui oleh parti lawan. Mereka jika boleh biarlah Pas menjadi celaru dan berpecah-belah. Aneh kan? Mereka yang katanya menyeru perpaduan lebih suka melihat parti Islam berkecamuk seperti mereka?

Sebagai ahli apakah yang kita harapkan daripada pertemuan ini? Melihat Pas terus berdiri gagah? Atau mencari ruang untuk membuat pertikaian? Amat tidak patut sekiranya hikmah perbincangan ini dicemari oleh ahli atau pemimpin yang tidak wala’. Begitu kita mengharapkan pertemuan kali ini menyelesaikan apa jua bentuk permasalahan yang berlaku di kalangan kita. Janganlah kerana semata-mata ingin meredakan keadaan masalah sekadar diletakkan ke tepi menunggu bertambun untuk diselesaikan kelak!

Kita perlukan kesatupaduan suara dalam perjuangan Islam dan ahli (rakyat) tidak boleh lagi dikelirukan dengan segala tindak-tanduk yang tidak mereka fahami.

Alangkah baiknya jika ruang yang ada kita perahkan segala keringat untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat selagi kita menghormati tahaluf-siasinya? PR berada dalam keadaan yang paling baik untuk menunjukkan kemampuan untuk menjadi pengganti kepada umno BN. Di saat mereka berkecamuk menyusun barisan(?) kita sudah jauh di depan memenangi hati rakyat.

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau susah menempuh cabaran

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat daulah Islamiyah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi


Selamatlah Parti Islam melangkah
Membimbing ummah ke medan Siyasah
Berpedomankan al-Quran dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah

Read more...

Pengumuman penting

PROGRAM TERDEKAT DI PARLIMEN ROMPIN


CERAMAH UMUM


TARIKH : 1 - 11 - 2009

MASA : 9 MALAM

TEMPAT : MARKAS PAS KERATONG 10

PENCERAMAH :


ANN WAN SENG (PENCERAMAH BEBAS)

RAZALI ALIAS ( S/U PKR PAHANG )


……………………………………………………………………………………………………………………………………


CERAMAH UMUM



TARIKH : 4-11-2009

MASA : 9 MALAM

TEMPAT : MARKAS PAS KERATONG 2


PENCERAMAH :


TUAN HAJI MOHAMAD SABU (AJK PAS PUSAT)

CIKGU BARD ( PIMPINAN PKR PUSAT )

Read more...

Bebas Tapi Sokong?

Akhirnya Ahli Parlimen Pasir Mas menamatkan spekulasinya sebagai MP bebas atas tiket Pas atau menjadi ahli umno. Kenyataannya yang menyatakan masih ‘bebas’ tapi menyokong umno walaupun agak mengelirukan tapi sekurang-kurang menunjukkan stand beliau dalam melayari arus politik yang penuh gelora sekurang-kurangnya hingga tamat penggal PRU yang ke 12 ini.

Ramai gembira terutamanya daripada penyokong Pas dan golongan tidak berparti bukan sahaja dari Kelantan bahkan seluruh negara. Kini jelaslah sudah hatinya milik siapa! Tidak perlu lagi pimpinan Pas menghabiskan masa berbincang dan bermain isu berkenaan Tok Him ini. Lebih baik kita memfokuskan tenaga dan fikiran kepada pembangunan negara dan Ummah daripada berbicara tentang ‘kesilapan’ silam kita ini.

Read more...

Lagi rakyat Rompin perlu bantuan.

Semalam selesai jamuan raya Pas Cawangan Selancar 2 kami mengambil kesempatan untuk menziarahi seorang pelajar yang telah setahun menderita sakit di rumahnya di sini. Bersama rombongan yang di ketuai sendiri oleh Ustaz Kamaruzaman selaku Ketua Cawangan Pas di sini rombongan kami juga disertai oleh Setiausaha Pas KAwasan Rompin saudara Ramli Awang Ahmat , Ketua Dewan Pemuda Pas Rompin Ustaz Nazri Hj Ahmad dan barisan exco pemuda yang lain.


Kami tiba di rumah tersebut lebih kurang jam 9.45 malam. Rupanya rumah tersebut hanya didiami oleh seorang ibu tunggal bersama anaknya Mohd Firdaus Saharuddin.Mohd Firdaus merupakan pelajar tingkatan 5 sekolah Sains Sultan Ahmad, Pekan. Menurut ibunya Puan Shamsiah , Firdaus telah setahun menderita bengkak paha kanan akibat patah semasa bermain bolasepak di sekolahnya setahun yang lalu. Apa yang menghairankan beliau ialah Doktor sendiri tidak dapat mengesahkan apakah jenis penyakit yang dihadapi oleh anaknya itu selain mengalami patah sehingga membengkak sedemikian rupa. Malah menurutnya Para Doktor yang ditemui ada yang menyarankannya agar berubat cara tradisional bagi menyembuhkan penyakit anaknya itu.

Adik Mohd Firdaus merupakan anak ke empat daripada lima beradik yang kesemuanya masih belajar. Beliau merupakan salah seorang pelajar pintar di sekolahnya. Kini setelah setahun tidak bersekolah beliau sendiri tidak tahu bagaimanakah kesudahan pembelajarannya nanti.Sekarang beliau hanya mampu terbaring di tempat tidur sambil di temani ibunya 24 jam sehari. Ibunyalah yang menguruskan segala keperluan untuk beliau baik ke bilik air , solat mahupun makan minum kerana beliau langsung tidak boleh bergerak.

Almarhum ayahnya dahulu seorang peneroka di sini meninggal dunia akibat kemalangan semasa bertugas sebagai rela bersama anggota polis di tanah rancangan ini.

Memandangkan keadaan anaknya yang serius dan perlukan perhatian daripadanya sepanjang masa membataskan masa bagi ibunya mencari rezeki. Apabila diajukan soalan berkenaan pihak yang telah menyalurkan bantuan kami difahamkan pihak Felda tidak lama dahulu telahpun maklum berkenaan perkara ini namun sebarang bantuan tidak jua kunjung tiba.

Kami sempat juga menghulurkan sedikit sumbangan kepada keluarga yang di dalam kesusahan ini sambil berharap ada pihak yang akan tampil memberi bantuan sepatutnya kepada mereka.
Puan Shamsidah boleh dihubungi melalui nombor telefon 019-7028372 atau datang sendiri ke rumahnya di alamat nombor 193 blok 9 , Felda Selancar 2.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka dalam menempuhi ujian yang besar ini.

Bayangkan...telah setahun adik Firdaus ini menderita sebegini.



Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul



Read more...

Pak Kaduk dan Bagan Pinang

Jika dihayati dan dihalusi jalan cerita kemenangan umno pada Pilihanraya Kecil kali ini barangkali ada persamaannya dengan kisah Pak Kaduk. Satu dongeng Melayu yang menggambarkan Si hero yang disangkakan menang tapi sebenarnya hanya berjaya menelanjangkan dirinya sendiri. Imej sebenar umno jelas kelihatan menerusi pilihanraya paling ‘ganas ala-mafia’ ini.


Dari mula lagi bekas Presiden umno Tun Mahathir mengisyaratkan umno boleh menang pada pertandingan kali ini tapi ianya pasti mencemarkan imej dan moral mereka kerana mengambil pesalah rasuah sebagai calon. Seolah-olah sudah tidak ada calon lain yang layak melainkan Isa Samad! Apakah pengajaran yang baik yang dapat rakyat simpulkan daripada calon ini? Politik wang atau rasuah hanya masalah teknikal? Atau rasuah dalam pemilihan umno tidak bermakna seseorang itu akan melakukan rasuah apabila berkuasa? Atau umno sememangnya tidak serius menangani rasuah yang membarah dalam partinya yang kini di tahap kritikal?

Daripada satu sisi lain kelihatan jelas penyelewengan jentera-jentera kerajaan seperti Kemas , RTM dan sebagainya yang hanya berpihak kepada mereka. Janji-janji politik dan pembangunan serta pengagihan bantuan kerajaan sepatutnya tidak menjadi modal atas angin kepada mereka. Bantuan sara hidup kepada nelayan contohnya bukan menggunakan duit umno tapi duit rakyat tetapi penerimanya disuruh berterima kasih kepada ‘kerajaan’. Adakah semua itu tidak termasuk dalam rasuah dan akta kesalahan pilihanraya? Biarlah SPR dan SPRM yang cekap itu menilainya.

Begitu juga dengan gangsterism yang sentiasa mengancam keamanan pilihanraya itu. Para petugas Pas di serang di Markas mereka sendiri malah ada yang dilibas dengan pedang Samurai oleh provokater-provokater upahan di sana. Siapakah yang menjadi dalang kepada pemuda-pemuda yang memakai baju berlambangkan dacing serta membuat kacau di seluruh pelusuk Bagan Pinang? Belumpun Pas menang sudah ada pihak yang seakan cuba mengeruhkan keadaan. Keadaan ini menakutkan rakyat apatahlagi pengundi untuk membuat pemilihan yang waras. Orang Melayu sukakan keamanan dan mereka sanggup berkorban undi jika itu boleh memberikan keamanan kepada mereka. Jentera Pas tidak berkesempatan memesrai dan menangani kehendak pengundi akibat sibuk menjaga keselamatan dan keamanan pilihanraya. Itu jelas menjejaskan kempen mereka.

Jelas di sini kelihatan umno menang bukanlah di atas kekuatan politik mereka sendiri. Umno sudah sangat lemah dan tidak mampu berdiri sendiri. Sebaliknya unsur-unsur seperti yang disebutkan di atas itulah memenangkan mereka. Moral sepertimana yang diperkatakan oleh Tun hanya akan diambilkira apabila ingin menjatuhkan seseorang (ingat Anwar Ibrahim) atau menjadi perisai kepada pemimpin mereka agar tidak dipersoalkan oleh ahli di bawah dengan batasan etika dan disiplin.

Benarlah kisah Pak Kaduk. ‘Ayam’ umno menang tapi moral mereka tergadai. Orang melayu perlu melihat ini dengan pandangan bijak dan mengubah tanggapan segelintir mereka yang menyangkakan umno parti keramat sehingga tidak terfikir betapa perlunya orang melayu Islam dan seluruh rakyat menukar sistem pemerintahan negara yang sentiasa di belit rasuah dan penyelewengan kepada satu pemerintahan yang lebih adil dan beramanah.

Read more...

Sisi gelap di Bagan Pinang.

“Keluar! Keluar! Ini tanah aku dan aku tak izinkan ngko parking kat sini…ngko alih cepat kalau tak nanti tahulah aku nak buat macam mane…aku bakar nanti! @#$#@$@ Baik ngko alih cepat!” …Itu antara kata-kata aluan di hari pertama kami sebaik menjejakkan kaki ke Bagan Pinang. Puncanya salah sebuah kereta petugas Pas (agaknya) meletakkan keretanya di hadapan rumah seorang penduduk di situ. Rumah itu kelihatan kosong dan seakan ditinggalkan barangkali menjadi sebab sahabat itu meletakkan kenderaannya di situ. Tanpa ingin memanaskan keadaan sambil meminta maaf sahabat itupun mengalihkan keretanya.


Saya yang ada berdekatan terkejut melihat aksi yang di luar kebiasaan orang Melayu ini. Sejurus kemudian selang beberapa saat kelihatan di jalanraya berlaku pergaduhan antara ‘Tuan Tanah’ tersebut dengan seorang yang lain pula dan cepat-cepat disuraikan oleh petugas Pas dan pihak Polis.

Satu lagi pengalaman pahit yang dihadapi penulis ialah apabila melihat seorang ibu tua yang sakit ditengking oleh anaknya sendiri di hadapan orang ramai. Peristiwa berlaku di Markas Dewan Ulama di mana ibu tua tersebut datang ke situ untuk mendapatkan rawatan alternatif melalui Doa-doa yang ditawarkan di situ. Semasa ibu itu duduk untuk mendapatkan rawatan tiba-tiba datang seorang lelaki (dipercayai anaknya lingkungan 20 an) menaiki basikal sambil mengherdik “ Mak! Mak buat apa kat sini??? Balik!” dengan wajah yang masam mencuka. “Mak nak berubat” Jawab ibu tua tersebut denga perlahan. “Balik!!!” Sekali lagi pemuda itu menengking ibunya dan dengan wajah sedih ibu tua tersebut berlalu pergi. Barangkali beliau takut ibunya akan mengundi Pas! Peristiwa ini diperhatikan oleh ramai petugas Pas yang sedang membuat persiapan untuk program munajat di malam tersebut. Terkedu dan tergamam hati kami melihat insiden tersebut malah di hati saya berdebar takut Allah menurunkan balanya akibat penderhakaan tersebut di saat saya berada di sana. Maklumlah sekarang kerap sangat Tsunami , gempa-bumi dan ribut taufan berlaku di sekitar kita.


Itu antara rencah di luar kebiasaan yang boleh ditonton oleh sekalian petugas yang hadir ke sana. Di kaca TV dilaporkan petugas Pas yang mengganas! Ini sangat tidak adil dan memusingkan fakta 180 darjah! Rata-rata petugas Pas kelihatan berdisiplin dan amat menjaga tingkah-laku mereka dalam menyantuni masyarakat tempatan mahupun petugas lawan. Tidak ada satu insiden pun sama ada pergaduhan atau provokasi yang berlaku di Bagan Pinang berpunca daripada petugas Pas. Tidak ada. Masyarakat Malaysia berhak untuk mengetahui keadaan sebenar selain putar belit media yang berat sebelah.

Insiden petugas Pas diserang di Markas mereka sendiri! , insiden pihak yang menyerang anggota Polis berpakaian biasa yang disangkakan petugas Pas dan sebagainya dilaporkan dalam keadaan yang terbalik daripada kejadian asal. Hebat permainan media yang tidak memikirkan etika , moral , Dosa dan Pahala. Alangkah baiknya jika Pas dan PR mempunyai media cetak dan saluran TV sendiri untuk memberikan pilihan maklumat kepada rakyat.


Adalah tidak adil jika label ganas di labelkan untuk Pas memandangkan keganasan yang dilakukan semuanya berpunca daripada pihak lain. Malah tidak dapat dinafikan tidak ada parti lain di Malaysia ini yang boleh mendisiplinkan ahlinya seperti yang dilakukan Pas. Walaupun diprovoke dengan berbagai cara namun pimpinan tetap menasihatkan agar akhlak Islam yang diperjuangkan dijaga. Sabar dan bertolak ansur…itulah pendekatan yang diambil dengan harapan rakyat Malaysia dan pengundi di Bagan Pinang khususnya dapat menilai sendiri siapakah yang benar dan salah. Tapi malangnya mereka didedahkan dengan cerita yang sebaliknya oleh TV dan suratkhabar yang tidak amanah.



Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP