Assalamualaikum ,Pemuda Muadzam Shah bersama dalam menyampaikan info yang bermanafaat,,, terima kasih atas ziarah anda......

Pak Kaduk dan Bagan Pinang

Jika dihayati dan dihalusi jalan cerita kemenangan umno pada Pilihanraya Kecil kali ini barangkali ada persamaannya dengan kisah Pak Kaduk. Satu dongeng Melayu yang menggambarkan Si hero yang disangkakan menang tapi sebenarnya hanya berjaya menelanjangkan dirinya sendiri. Imej sebenar umno jelas kelihatan menerusi pilihanraya paling ‘ganas ala-mafia’ ini.


Dari mula lagi bekas Presiden umno Tun Mahathir mengisyaratkan umno boleh menang pada pertandingan kali ini tapi ianya pasti mencemarkan imej dan moral mereka kerana mengambil pesalah rasuah sebagai calon. Seolah-olah sudah tidak ada calon lain yang layak melainkan Isa Samad! Apakah pengajaran yang baik yang dapat rakyat simpulkan daripada calon ini? Politik wang atau rasuah hanya masalah teknikal? Atau rasuah dalam pemilihan umno tidak bermakna seseorang itu akan melakukan rasuah apabila berkuasa? Atau umno sememangnya tidak serius menangani rasuah yang membarah dalam partinya yang kini di tahap kritikal?

Daripada satu sisi lain kelihatan jelas penyelewengan jentera-jentera kerajaan seperti Kemas , RTM dan sebagainya yang hanya berpihak kepada mereka. Janji-janji politik dan pembangunan serta pengagihan bantuan kerajaan sepatutnya tidak menjadi modal atas angin kepada mereka. Bantuan sara hidup kepada nelayan contohnya bukan menggunakan duit umno tapi duit rakyat tetapi penerimanya disuruh berterima kasih kepada ‘kerajaan’. Adakah semua itu tidak termasuk dalam rasuah dan akta kesalahan pilihanraya? Biarlah SPR dan SPRM yang cekap itu menilainya.

Begitu juga dengan gangsterism yang sentiasa mengancam keamanan pilihanraya itu. Para petugas Pas di serang di Markas mereka sendiri malah ada yang dilibas dengan pedang Samurai oleh provokater-provokater upahan di sana. Siapakah yang menjadi dalang kepada pemuda-pemuda yang memakai baju berlambangkan dacing serta membuat kacau di seluruh pelusuk Bagan Pinang? Belumpun Pas menang sudah ada pihak yang seakan cuba mengeruhkan keadaan. Keadaan ini menakutkan rakyat apatahlagi pengundi untuk membuat pemilihan yang waras. Orang Melayu sukakan keamanan dan mereka sanggup berkorban undi jika itu boleh memberikan keamanan kepada mereka. Jentera Pas tidak berkesempatan memesrai dan menangani kehendak pengundi akibat sibuk menjaga keselamatan dan keamanan pilihanraya. Itu jelas menjejaskan kempen mereka.

Jelas di sini kelihatan umno menang bukanlah di atas kekuatan politik mereka sendiri. Umno sudah sangat lemah dan tidak mampu berdiri sendiri. Sebaliknya unsur-unsur seperti yang disebutkan di atas itulah memenangkan mereka. Moral sepertimana yang diperkatakan oleh Tun hanya akan diambilkira apabila ingin menjatuhkan seseorang (ingat Anwar Ibrahim) atau menjadi perisai kepada pemimpin mereka agar tidak dipersoalkan oleh ahli di bawah dengan batasan etika dan disiplin.

Benarlah kisah Pak Kaduk. ‘Ayam’ umno menang tapi moral mereka tergadai. Orang melayu perlu melihat ini dengan pandangan bijak dan mengubah tanggapan segelintir mereka yang menyangkakan umno parti keramat sehingga tidak terfikir betapa perlunya orang melayu Islam dan seluruh rakyat menukar sistem pemerintahan negara yang sentiasa di belit rasuah dan penyelewengan kepada satu pemerintahan yang lebih adil dan beramanah.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP