Assalamualaikum ,Pemuda Muadzam Shah bersama dalam menyampaikan info yang bermanafaat,,, terima kasih atas ziarah anda......

Kebakaran di Bukit Ibam

Rompin 29 disember - Hari ini telah berlaku satu kebakaran besar di perkampungan Bukit Ibam. Kebakaran ini melibatkan sebuah rumah penduduk kampung yang berlaku kira-kira jam 2 petang. Api marak dengan pantas dan keseluruhan rumah 80 peratus binaan kayu ini hangus tidak sampai satu jam.

Sebuah jentera bomba daripada skuadron TUDM Bukit Ibam bersama tujuh orang anggota sampai ke tempat kejadian ketika api sedang marak dan mereka mengambil masa 15 minit untuk mengawal api supaya tidak merebak ke rumah yang berdekatan. Sejurus kemudian sebuah lagi jentera bomba daripada balai bomba dan penyelamat bandar Muadzam Shah tiba untuk memadamkan saki-baki kebakaran dan kebakaran dipadam sepenuhnya sejam kemudian.

Kebakaran yang belum diketahui puncanya ini mengakibatkan mangsa Puan Ayu bersama keluarganya tinggal sehelai sepinggang. Beliau yang ditemui ditempat kejadian kelihatan terkejut dan sedih dengan malapetaka yang tidak disangka-sangka ini. Nasib baiklah semasa kejadian beliau dan anak-anaknya sempat meyelamatkan diri namun segala alatan rumah dan alatan persiapan sekolah untuk anak-anaknya hangus dalam kebakaran ini.

Menurut keterangan saksi di tempat kejadian mereka menyatakan api marak dengan begitu pantas sehinggakan mereka tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda mahupun rumah ini. Tambahan pula hari ini cuaca agak terik berbanding beberapa hari sebelumnya .

Kelihatan ada di kalangan penduduk kampung mengambil inisaitif segera dengan mewujudkan tabung derma kilat untuk membantu keluarga malang ini. Mereka juga mengucapkan terima kasih atas bantuan segera daripada pasukan bomba Skuadron TUDM Bukit Ibam dan anggota bomba diri Balai Bomba & Penyelamat Muadzam Shah yang bertungkus-lumus mengawal api agar tidak merebak ke rumah berdekatan.

Gambar sekitar kejadian











0 comments:

Post a Comment

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP